Kepentingan Memahami Ilmu Alam Sekitar Bersumberkan Agama Menurut Smn Al-attas

Oleh Siti Aminah

228,1 KB 4 tayangan 0 unduhan
 
Bagikan artikel

Transkrip Kepentingan Memahami Ilmu Alam Sekitar Bersumberkan Agama Menurut Smn Al-attas

Kepentingan Memahami Ilmu Alam Sekitar Bersumberkan Agama menurut Syed Muhammad Naquib Al-Attas SITI AMINAH ISHAK & ZUL`AZMI YAAKOB1 Abstrak Krisis alam sekitar seringkali menjadi topik perbincangan serata dunia. Malah ilmu berkaitan alam sekitar juga semakin berkembang dan luas skopnya termasuklah „etika alam sekitar‟, „pembangunan alam sekitar‟, „audit alam sekitar‟ dan sebagainya. Namun, perkembangan tersebut masih tidak dapat meleraikan kepada persoalan mengapa pencemaran alam sekitar masih tetap berlaku secara ketara. Ia disebabkan kebanyakan manusia masih lagi terikat dengan nilai saintifik Barat moden versi sekular, sekaligus mendorong mereka untuk memandang rendah terhadap hak alam sekitar tersebut. Sehubungan itu, kertas kerja ini memfokuskan kepada pandangan sarjana Muslim Malaysia, Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang kepentingan manusia memahami ilmu alam bersumberkan agama. Beliau didapati merungkaikan mengapa nilai saintifik Barat moden versi sekular masih menjadi pengaruh kuat dalam pemahaman dan aktiviti kebanyakan masyarakat masa kini sehingga berlakunya pencemaran. Berdasarkan beberapa penulisan beliau seperti Islam: Faham Agama dan Asas Akhlak (1977), Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam (2007) dan Risalah untuk Kaum Muslimin (2014), dapatan awal secara analisis kandungan ini menunjukkan al-Attas begitu menekankan kepentingan manusia untuk memahami ilmu alam dengan bersumberkan agama iaitu melalui kitab suci. Ini kerana, memahami alam dan ilmu alam yang bersumberkan agama, sebenarnya bertitik tolak dengan mengenali dan memahami tentang diri manusia terlebih dahulu sebagai salah satu komponen alam. Dari peringkat inilah, manusia akhirnya akan melihat kembali sejauh manakah terlaksananya amanah mereka terhadap Penciptanya (Allah s.w.t.) selama ini, iaitu sama ada berjaya ataupun gagal mentadbir dan memakmurkan alam yang mereka duduki secara harmoni. Ia menunjukkan al-Attas cuba mengembalikan nilai ketuhanan bagi menggantikan nilai saintifik Barat moden versi sekular dalam memandang alam, agar kesannya manusia akan sedar betapa kehidupan mereka beraktiviti ke atas alam adalah sentiasa terikat dengan perjanjiannya terhadap Allah s.w.t. Kata kunci: Islam, ilmu, manusia, alam sekitar, Syed Muhammad Naquib al-Attas Pencemaran alam sekitar merupakan isu global kerana situasi yang dialami semakin ketara memberi kesan negatif kepada masyarakat dunia. Mereka kini semakin terdedah dengan persekitaran yang tidak selesa seperti pencemaran air dan udara. Tambahan pula pemanasan global kebelakangan ini telah memberikan kesan ketidaktentuan cuaca seperti kemarau yang berpanjangan dan fenomena banjir besar di luar jangkaan. Manusia telah dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada pencemaran alam sekitar. Pembuangan sampah dan sisa industri yang tidak bersistem, penebangan hutan yang tidak terkawal dan projek pembangunan yang tidak lestari, merupakan antara aktiviti manusia yang telah memberikan kesan negatif kepada alam sekitar. Biarpun kepelbagaian usaha untuk menyelesaikan krisis alam sekitar yang berasaskan sains dan teknologi moden giat diperkenal dan dilaksanakan, namun pencemaran yang dialami terus semakin meruncing. Situasi sedemikian telah 1 Siti Aminah Ishak, Pelajar Sarjana Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor, MALAYSIA. E-mel: sitiaminah_ishak@yahoo.com.my; Zul`azmi Yaakob, Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor, MALAYSIA. E-mel: zulazmi@ukm.edu.my. menimbulkan persoalan, sejauh manakah keupayaan manusia dalam menghargai alam sekitar yang semakin hari semakin merosot kualitinya walaupun status „tamadun‟ manusia itu semakin hari semakin tinggi kedudukannya? Apabila mengamati pandangan sarjana Muslim dari Malaysia seperti Syed Muhammad Naquib al-Attas, didapati beliau menegaskan bahawa manusia yang mempunyai „tamadun‟ yang tinggi bukanlah merujuk kepada golongan yang memiliki dan menguasai kehebatan sains dan teknologi moden, sebaliknya adalah golongan yang memiliki agama dan menjadikannya sebagai teras kehidupan termasuklah dalam memahami alam serta beraktiviti ke atasnya. Ini menggambarkan al-Attas cuba memecahkan dasar pemikiran umum masyarakat masa kini khususnya umat Islam, agar lebih bertanggungjawab dan amanah terhadap alam yang mereka duduki berasaskan nilai agama, bukannya tafsiran akal dan hawa nafsu sekular. Sebagai seorang pemikir, juga merupakan seorang ahli falsafah Islam, al-Attas melihat pencemaran alam sekitar boleh ditangani sekiranya manusia terlebih dahulu berjaya memahami konsep alam itu secara apa yang disampaikan oleh ajaran „agama‟, bukannya secara apa yang disampaikan oleh sumber dari luar lingkungan agama sebagaimana sains moden dan etika alam sekitar versi Barat moden sekular. Ini disebabkan „manusia‟ juga merupakan sebahagian daripada alam sekitar yang tetap terikat dengan Penciptanya, Allah s.w.t. Insān Beragama Wajib Bertanggungjawab Terhadap Alam Sekelilingnya Dalam Islam, perbincangan berkaitan istilah „manusia‟ lebih tertumpu kepada perkataan insān. Syed Muhammad Naquib al-Attas (1989:13-14; 2014: 50-51) mentakrifkan insān sebagai al-ḥayawān al-nāṭiq iaitu „haiwan yang berakal‟. Perkataan nāṭiq dapat diterjemahkan sebagai „berakal‟ dan sebenarnya bermaksud „mempunyai daya berkata-kata‟. Hal ini kerana, fikiran dapat menyalurkan kefahaman terhadap sesuatu isu dan perkara melalui „kata-kata‟ atau dalam istilah lain dikenali sebagai „bahasa‟. Beliau menegaskan lagi bahawa perkataan nāṭiq juga merujuk kepada „akal‟ (al-caql). Istilah akal (al-caql) dalam bahasa Yunani dapat dikaitkan dengan perkataan logos. Seterusnya, melalui perkataan logos, melahirkan istilah logic. Begitu juga perkataan nāṭiq melahirkan al-manṭiq yang membawa makna „cara menyemak dan menyusun hujah dalam sesuatu pembicaraan mengikut bawaan akliah dan mempunyai tujuan bagi mengemukakan pendapat untuk membuktikan kesahihan pandangan yang dikemukakan dari aspek ilmiah‟. Melalui kefahaman makna yang diberikan, „manusia‟ adalah sebagai insān yang mampu berkata-kata dengan susunan bahasa yang dapat difahami dan dipertimbangkan secara logik semasa berkomunikasi antara satu sama lain. Oleh sebab itulah, insān dilahirkan ke dalam suatu keadaan semula jadi yang digelar sebagai „alam sekeliling‟ atau „persekitaran‟ yang meliputi pelbagai kemudahan untuk kegunaan mereka. Pengurniaan akal juga memberikan keupayaan kepada manusia untuk melakukan perubahan agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan selesa. Perubahan yang dilakukan oleh manusia telah mewujudkan satu kebudayaan yang seiring dengan keadaan diri mereka. Hal ini selari dengan makna kebudayaan yang diketengahkan oleh al-Attas iaitu: “Kebudayaan adalah jumlah segala hasil daya cipta insan serta cara-cara menyesuaikan dirinya dengan keadaan dan kehidupannya” (Syed Muhammad Naquib al-Attas 2014: 66). Manusia adalah makhluk ciptaan Allah s.w.t yang terdiri daripada dua unsur iaitu jasad (material) dan rohani (non-material). Unsur jasad merujuk kepada fizikal yang boleh dilihat dengan bentuknya sehingga menyebabkan seseorang itu dikenali sebagai manusia. Kewujudan jasad pada diri manusia dapat dikenal pasti sejak awal kejadian mereka lagi sebagaimana yang telah dijelaskan pada surah Al-Mu’minun dalam al-Quran (23:12-14). Menurut Sayyid Qutb (2000: 258-262), apabila telah sempurna kejadian manusia dalam bentuk jasad yang dikehendaki oleh-Nya, maka Allah tiupkan roh kepada jasad tersebut. Ini bertepatan dengan firman Allah di dalam surah Al-Hijr (15:29) yang bermaksud: “Kemudian, apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan roh padanya . . .”. Penciptaan manusia pertama, Nabi Adam a.s adalah daripada tanah manakala keturunannya daripada air benih mengikut undang-undang Allah s.w.t, merupakan bukti kemuliaan dan keagungan-Nya. Namun begitu, dalam membahaskan berkaitan proses kejadian Nabi Adam a.s, terdapat beberapa istilah yang digunakan dalam al-Quran, antaranya min al-turrāb (dari tanah), sulalatin min tīn (dari pati tanah), min al-tīn al-lazib (dari tanah yang liat dan sebati), min hamāin masnūn (dari tanah yang panas dan berbau) dan min salsālin kalfakhar (dari tanah yang keras seperti tembikar). Kepelbagaian campuran tanah inilah yang menyempurnakan rupa dan bentuk manusia sekali gus membuktikan keistimewaan manusia berbanding makhluk ciptaan Allah s.w.t yang lain (Haron Din 1985: 12; Taufiq 2006: 23). Hasil gabungan kedua-dua unsur iaitu jasad dan rohani tersebut, telah melahirkan individu yang dikenali sebagai manusia. Sememangnya kedua-dua unsur tersebut mempunyai kehendak dan keinginan yang tersendiri, namun kedua-duanya saling bergantungan dan memerlukan antara satu sama lain. Fitrah jasad yang selalunya dikaitkan dengan hal-hal dunia dan bersifat kebendaan (material) inilah mendorong manusia untuk mengubah dan mencipta sesuatu mengikut kehendaknya termasuklah ke atas persekitarannya (alam sekitar). Kehendak dan keinginan yang wujud dalam diri manusia adalah selaras dengan tanggungjawab yang diberikan kepada manusia untuk mengurus dan memakmurkan alam sekitar. Walau bagaimanapun, kehendak dan keinginan jasad itu tidak dibiarkan begitu sahaja, tetapi dipandukan dengan unsur kerohanian yang wujud dalam diri manusia. Sebagaimana unsur jasad, unsur roh yang berpunca dari alam ketinggian dan kekudusan, juga mempunyai tuntutan dan keperluan yang sesuai dengan tabiat kerohaniannya. Tuntutan dan keperluan rohani manusia lebih terdorong kepada hal-hal keakhiratan seperti mempunyai keinginan berakhlak mulia, berilmu tinggi, membersihkan jiwa untuk mencapai keredaan Allah s.w.t, menghampiri diri dengan Pencipta dan kembali kepada fitrahnya (Haron Din 1985: 14). Pengurniaan unsur rohani sebagai pusat kepada semua kegiatan, menggambarkan kemuliaan dan kesucian diri manusia sebagai makhluk-Nya kerana ia merupakan inti sari manusia dan ciri-ciri peribadinya. Unsur rohani bukanlah suatu unsur yang ditampal dan diasingkan dari kehidupan manusia, tetapi ia merupakan inti sari yakni pusat bagi segala kegiatan dalam kehidupan manusia (al-Bahi 1979: 1). Hal ini kerana, segala pergerakan dan perlakuan manusia adalah hasil cetusan yang lahir dari dalam diri manusia, yang dijadikan sebagai wasilah untuk mencapai ketinggian kerohanian. Walaupun unsur jasad dan rohani mempunyai kehendak dan keinginan tersendiri, namun kesepaduan antara kedua-duanya dapat melahirkan manusia mempunyai naluri kemanusiaan dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah sebagai hamba dan khalifah Allah s.w.t. Naluri kemanusiaan adalah fitrah semula jadi yang wujud dalam diri manusia. Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas (1977: 22), fitrah adalah rencana yang membayangkan tabii segala makhluk dan segala sesuatu itu dijadikan dengan sifat kesempurnaan yang menepati rencana yang telah dijanjikan baginya dan masing-masing diletakkan tepat pada tempatnya yang wajar. Kepatuhan kepada fitrah membawa ketenteraman dalam diri manusia. Jelas sekali, manusia sebagai makhluk yang mempunyai kehidupan duniawi dan diberikan panduan oleh Allah s.w.t bagi mengingati perjanjiannya, maka perlu mengerjakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Perjanjian yang dimaksudkan adalah merujuk kepada ayat al-Quran, surah Al-A`raf (7:172) yang bermaksud: “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhan mu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri. (sambil Ia bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku Tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”. Jelas ayat tersebut menggambarkan bahawa apabila Allah s.w.t menciptakan manusia, ketika di alam roh manusia telah disaksikan dengan diri sendiri akan ketuhanan-Nya. Penyaksian dan perjanjian inilah yang mengikat manusia secara mutlak. Sesiapa yang memungkiri janji akan dijatuhkan hukuman kerana mereka telah menzalimi dirinya sendiri. Akan tetapi, manusia yang memegang janjinya, mereka ini tergolong sebagai orang yang adil terhadap diri kerana menempatkan dirinya pada tempat yang tepat dan sebati dengan tabiat semula jadinya yang inginkan kemuliaan dan kesejahteraan insaniah (Syed Muhammad Naquib al-Attas 2014: 38-39). Melalui perjanjian azali ini juga, wujud suatu perasaan tanggungjawab sebagai pemegang amanah dalam diri manusia. Amanah dan tanggungjawab yang diberikan bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi meliputi amanah kepada Pencipta, diri sendiri dan makhluk lain termasuklah orang lain, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan seluruh alam. Dalam melaksanakan amanah, manusia sebagai hamba dan khalifah Allah s.w.t memerlukan suatu pegangan dan panduan yang selaras dengan fitrah jasad dan roh manusia. Secara fitrah, unsur roh memerlukan pegangan agama sebagai panduan untuk menjadikan kehidupan teratur dan bersistematik. Manakala, unsur jasad adalah mentadbir dan memakmurkan alam mengikut kehendak-Nya. Agama adalah elemen yang sangat penting bagi memenuhi fitrah rohani yang wujud dalam diri manusia. Pegangan agama juga dijadikan sebagai perlindungan dan jaminan keselamatan serta asas kekuatan dalam kehidupan seseorang individu. Dengan pegangan agama, kehidupan manusia akan lebih teratur dan sistematik. Namun sebaliknya, jika kehidupan manusia tidak berpandukan kepada pegangan agama, nescaya akan terjadinya huru-hara dan kejahatan secara berleluasa termasuklah ke atas alam sekitar sebagaimana berlakunya pencemaran air, bunyi dan udara. Keadaan tersebut berlaku kerana mereka tiada panduan dan suruhan yang menyeru untuk melakukan kebaikan ke atas alam sekitar dari sudut asasnya iaitu kerohanian. Pegangan dan kepercayaan agama khususnya agama Islam, mampu memberikan ketenteraman kepada diri manusia kerana insān tidak dapat mengelakkan diri daripada keadaan hidup beragama. Fitrah ini telah diakui sejak awal penciptaan manusia berdasarkan kepada penyaksian azali antara manusia dengan Penciptanya sebagaimana yang telah dinyatakan dalam surah Al-A`raf (7:172). Kesedaran manusia akan penyaksian ketuhanan itu melahirkan perasaan ingin dilindungi dan mengakui akan rububiyyah2 Allah s.w.t. Fitrah rohani manusia disempurnakan dengan utusan risalah Ilahi yang dibawa oleh para rasul3. Risalah Ilahi yang berbentuk wahyu daripada Allah s.w.t merupakan peringatan dan amaran atau juga dikenali sebagai syariat yang dijadikan sebagai panduan dalam kehidupan seorang Muslim. Peringatan dan amaran yang dibawa oleh para rasul dijadikan sebagai bimbingan agar manusia dapat menjalani kehidupan dengan penuh kebaikan dan tiada kemungkaran yang berlaku walaupun terhadap alam sekitar yang mengelilingi mereka. Pegangan agama yang benar sebagai kepercayaan bagi manusia adalah dengan mengamalkan Islam sebagai al-dīn, sebagaimana firman Allah dalam surah Ali-`Imran (3:19) yang bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam”. Secara harfiahnya, perkataan dīn yang terangkum daripada tiga perkataan Arab iaitu dal, ya dan nun mendatangkan pelbagai makna antaranya ialah „keadaan berhutang‟, „keadaan penyerahan diri‟, „bandar‟ atau „kota‟, „kecenderungan yang sedia ada dalam diri manusia‟ atau „kebiasaan yang menjadi adat resam manusia‟ dan „suatu kepercayaan yang dikenali sebagai agama‟. Keperluan manusia kepada agama adalah untuk mengembalikan insān kepada suatu keadaan sebelum ia dijadikan secara zahir di dunia dan ini melibatkan usaha mencari makna dan nasib diri dengan mengamalkan perilaku yang betul. Syed Muhammad Naquib al-Attas menegaskan lagi bahawa agama Islam memberikan kepada 2 3 Beriktikad bahawa Allah itu Esa, Pencipta dan Pemelihara sekalian alam. Rasul adalah seorang lelaki yang terpilih dan yang diutus oleh Allah dengan risalah kepada manusia. insān asas-asas akhlak, petunjuk dan tatacara untuk menempuhi kehidupan duniawi di atas satu landasan yang menetapkan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Agama membawa manusia kepada keadaan yang menjadikan insān yang lebih kemurnian insaniah atau berperikemanusiaan, kerana dengan agama manusia rela dikawal oleh undang-undang dan hukum yang dapat menjamin ketertiban dan ketenteraman serta kesejahteraan (Syed Muhammad Naquib al-Attas 1977: 4-5; 2002: xli; 2014: 35-36). Perasaan tenteram itu lahir dalam diri manusia kerana pegangan agama yang teguh menghasilkan kepatuhan dan ketaatan kepada Pencipta termasuklah menunaikan amanah iaitu memelihara dan memulihara alam sebagaimana yang diamanahkan oleh Pencipta alam. Kepatuhan dan ketaatan dalam diri manusia merangkumi taqrīr (lisan), tasdīq (hati) dan camal (ibadah). Dalam erti kata lain, pandangan alam (worldview), falsafah, persepsi, sikap, pembudayaan dan amalan baik manusia ke atas alam sekitar sebagaimana aktiviti-aktiviti memelihara dan memuliharanya, mestilah dikategorikan wajib iaitu sebagai menunaikan amanah kepada-Nya, selaras dengan tuntutan agama. Alam Perlu Difahami dari sudut Ilmu Bersumberkan Agama Ilmu adalah suatu proses memperoleh pengetahuan dan merujuk kepada suatu sifat yang ada pada diri manusia, yang membolehkan mereka tahu apa yang perlu diketahui. Dalam menghasilkan sesuatu ilmu, Imam Nasafi dalam Kitab cAqā’id menyatakan bahawa terdapat tiga perkara yang penting iaitu pengamatan pancaindera, perkhabaran yang benar dan akal. Pengamatan pancaindera yang dimaksudkan merangkumi lima deria utama manusia termasuklah pendengaran, penglihatan, bau, percakapan, dan perasaan. Manakala perkhabaran yang benar adalah merujuk kepada dua sumber utama dalam agama Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah (Syed Muhammad Naquib al-Attas 1988: 53). Penggabungan ketigatiga perkara tersebut dapat menghasilkan ilmu yang berguna sebagai bekalan dan pelengkap kepada manusia untuk melaksanakan amanah dengan penuh kebaikan. Justeru, dari sudut bidang ilmu alam sekitar, anugerah alam sebagai amanah bukanlah semata-mata perlu difahami fungsinya kepada manusia dari segi manfaat kebaikan, malah anugerah alam sepatutnya perlu dihormati kedudukannya, bahkan perlu dipelihara dan dipulihara sebaik mungkin sebagai pembuktian ketaatan manusia kepada Pemilik alam (menunaikan amanah). Ilmu boleh dibahagikan kepada dua iaitu ilmu pengenalan (macrifah) dan ilmu pengetahuan (cilm). Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas (1977: 59-60; 2014: 54-55), untuk mendalami dan menerokai ilmu, maka manusia perlu bersifat adil agar dapat menggunakan ilmu pada tempat yang sewajarnya. Ilmu pengenalan (macrifah) ialah ilmu yang diberikan oleh Allah s.w.t sebagai kurniaan kepada insan. Ilmu pengenalan ini juga merujuk kepada pengenalan dalam diri yang membuka penglihatan rohani insan untuk mengenali Penciptanya. Pengurniaan ilmu macrifah kepada diri insan juga adalah merujuk kepada hakikat kebenaran dan keyakinan yang mempunyai hubungan secara langsung dengan akal dan akhlak mereka. Ilmu macrifah mempunyai pertalian yang sangat erat dengan akhlak dan budi pekerti manusia kerana ia menjadi asas dalam setiap perbuatan dan tingkah laku manusia. Seterusnya, ilmu ini juga turut menjadi dasar kepada ilmu pengetahuan yang lain. Dalam memberikan kefahaman tentang ilmu pengenalan dan ilmu pengetahuan tersebut, alAttas menjelaskan dengan memberikan analogi sebagaimana seseorang individu ingin mengenali individu lain. Dalam proses mengenali tersebut, seseorang individu itu perlu mendekatinya (individu lain) dengan perlu berpandukan adab yang sopan, berasaskan akhlak dan budi pekerti yang disukai oleh orang yang ingin dikenali tersebut (individu lain). Begitulah juga dengan Tuhan yang Menciptakan sekalian makhluk. Untuk mengenali Tuhan, manusia sebagai insan perlu mengamalkan adab dan akhlak yang diredai oleh-Nya serta mengamalkan syariat-Nya sebagaimana yang telah ditetapkan dalam agama Islam. Ilmu pengetahuan (cilm) pula adalah ilmu yang diperoleh oleh insan berdasarkan kepada daya usaha mereka melalui pengalaman hidup, pemerhatian, penyelidikan dan pengkajian. Ilmu pengetahuan ini juga digunakan sebagai alat bagi insan untuk menyesuaikan dirinya dengan keadaan alam sekelilingnya. Namun, ilmu pengetahuan yang diperoleh daripada pengamatan dan pengalaman manusia adalah terbatas. Keterbatasan tersebut disempurnakan dengan kepercayaan dan keimanan manusia melalui ilmu macrifah. Ini kerana, ilmu macrifah yang jelas dan sempurna dapat membimbing insan ke arah kebenaran. Kefahaman yang sempurna berkaitan ilmu macrifah juga mendorong kehidupan insan agar sentiasa berada dalam landasan Islam dan iman. Kesempurnaan kefahaman dan pengamalan Rukun Islam dan Rukun Iman dalam kehidupan, melahirkan insan yang bersifat ihsan dalam setiap perbuatan dan amalan mereka (Syed Muhammad Naquib al-Attas 1977: 61-62). Penghayatan Islam, iman dan ihsan dalam diri insan memberikan dorongan untuk mereka mentauhidkan Allah. Syed Muhammad Naquib al-Attas (2007: 13-14; 2014: 49) turut menyatakan bahawa ilmu itu seolah-olah bersifat neutral dan dianggap sebagai suatu yang jernih. Namun hakikat sebenar ilmu itu mempunyai perencanaan yang tersendiri berdasarkan kepada kebudayaan dan pandangan alam (worldview) yang berteraskan kepada ilmu macrifah. Ringkasnya, kesatuan ilmu dalam diri manusia mempengaruhi sikap dan tingkah laku manusia. Penyatuan kedua-dua ilmu dalam diri manusia dapat melahirkan ilmu sebenar dan manusia yang berakhlak serta berperikemanusiaan terhadap alam sekitar. Dalam pemikiran Syed Muhammad Naquib al-Attas, manusia adalah insan yang sedar akan amanah mereka sebagai hamba dan khalifah Allah bagi menjalani kehidupan dengan penuh kepatuhan dan ketaatan selaras dengan kehendak-Nya. Amanah sebagai hamba menggambarkan hubungan manusia dengan Penciptanya, manakala sebagai khalifah pula manusia berinteraksi secara langsung dengan alam yang berada di sekitar mereka. Pengurniaan keupayaan akliah yang mempunyai daya mereka cipta bagi manusia, telah merubah keadaan sekeliling demi kegunaan dan keselesaan mereka untuk menyesuaikan diri dengan alam sekeliling (Syed Muhammad Naquib Al-Attas 2014: 66). Apabila manusia mula sedar dan menghayati amanah sebagai hamba dan khalifah tersebut, mereka secara lumrahnya memerlukan dua elemen penting iaitu pegangan agama dan ilmu. Keperluan dua elemen ini juga adalah untuk meraikan kewujudan dua unsur iaitu roh dan jasad diri manusia itu sendiri. Justeru, manusia yang memahami alam dari sudut ilmu yang bersumberkan agama, mereka sebenarnya berupaya memastikan hakikat alam itu untuk sentiasa dihargai, dihormati dan tidak dilanggari sebagaimana yang dituntut oleh Penciptanya, Allah s.w.t. Alam: Nilai Nikmat Kerohanian, Manfaat Jasmani dan Amanah Syeikh Ahmad Hijazi al-Saqa (1987:23) dalam kitab Sharaḥ al-cAqā’id al-Nasafiyyah, turut menyatakan bahawa calam ialah apa yang wujud selain daripada Allah s.w.t. Kenyataan ini menggambarkan bahawa setiap yang wujud di dalam alam adalah suatu yang diciptakan oleh Allah s.w.t. Oleh sebab itulah beliau menegaskan bahawa setiap ciptaan terkandung padanya hubungan antara makhluk dengan Penciptanya (Allah s.w.t). Demikian itu, setiap kejadian dan kewujudan alam sebagai makhluk, merupakan bukti kewujudan dan kekuasaan Allah s.w.t. Syed Muhammad Naquib al-Attas (2007: 15-16) ada menjelaskan: . . . alam yang kita maksudkan bukan hanya merujuk kepada alam jasmani melulu, atau tinjauan dan fikiran mengenainya yang dirumuskan dari pemerhatian ma„lumat-ma„lumat zahiri, kerana tinjauan demikian itu akhirnya berpunca pada pengalaman indera jasmani sebagaimana terlihat oleh penglihatan zahir, ya„ni alam yang kita maksudkan bukan terhad ma„nanya pada alam shahadah yang merupakan kejadian semesta yang zahir yang direnungkan oleh akal nazari. Islam tiada menerima faham pemisah antara yang rohani dan yang jasmani, kerana keduanya yang rohani dan yang jasmani, meskipun berlainan, adalah penjelmaan suatu hakikat rohani yang esa jua. . . wajah dunia itu mesti dinisbahkan pada wajah akhirat . . . Jelasnya di sini, istilah „alam‟ yang dibahaskan oleh al-Attas merujuk kepada keseluruhan keadaan dan komponen alam sekitar termasuklah segala yang ada di langit dan di bumi. Segala perlakuan manusia ke atas alam pula perlu dinisbahkan pada wajah akhirat, bertujuan agar manusia sentiasa prihatin dan berhati-hati melakukan apa-apa aktiviti ke atas alam yang semuanya adalah ciptaan Allah s.w.t. Justeru, manusia perlu bertindak terhadap alam atas dasar amanah, bukannya mengikut acuan hawa nafsu dan logik sekular. Apa-apa tindakan manusia ke atas alam sekitar, sebenarnya mempunyai hubungan secara tidak langsung sebagai tindakan manusia ke atas Allah s.w.t sebagai Pencipta dan Pemilik alam sekitar. Menurut Zaini Ujang (1993: 25-28), Mohd Zuhdi Marsuki dan Amer Saifude Ghazali (2002: 122-124), sifat semula jadi alam yang perlu diketahui dan difahami oleh manusia untuk melaksanakan amanah sebagai pentadbir alam, termasuklah sifat mizan, tawazun, nasim dan jamal. Mizan (imbangan) melibatkan keserasian antara dua entiti yang bertentangan sifat. Oleh itu sifat mizan memerlukan tawazun (keseimbangan) bagi mengekalkan keadaan dan kedudukan sesuatu agar berada di tempat dengan betul. Tanpa keseimbangan, sistem alam sekitar akan kehilangan imbangan. Buktinya, flora yang menghijau bersama fauna yang pelbagai dan bertebaran saling memerlukan antara satu sama lain sehingga membentuk hubungan yang bersifat jaringan, terutamanya dalam proses pemakanan, perlindungan, pernafasan dan penghidupan. Jaringan dan interaksi yang seimbang antara komponen alam menyebabkan seluruh alam berada dalam keadaan yang harmoni. Namun, andainya salah satu jaringan tersebut dicemari dan terputus, maka ciri imbangan dan keseimbangan yang wujud pada alam sekitar turut akan tergugat. Ketidakseimbangan ekologi alam ini menyebabkan persekitarannya tidak segar dan memberikan kesan sampingan terhadap hidupan alam. Sifat nasim atau kesegaran yang wujud pada seluruh alam semula jadi melambangkan rahmat Allah s.w.t kepada setiap makhluk yang diciptakan oleh oleh-Nya. Manakala, sifat jamal, yakni keindahan berkait rapat dengan kerapian kejadian alam serta keadilan Khāliq dalam setiap kejadian yang diciptakan. Di sebalik keindahan alam tersirat ciri-ciri kekudusan dan keagungan Khāliq sebagai Pencipta sekalian alam. Kerapian penciptaan alam menunjukkan kekuasaan, kebijaksanaan dan keadilan Allah s.w.t. Melalui sifat-sifat ini, manusia dapat merasai nikmat kerohanian melalui perasaan damai dan tenang yang mendorong untuk mereka bertafakur akan kehebatan dan kebesaran Penciptanya. Dengan menggunakan kebolehan akal, kesempurnaan penciptaan alam bersama sifat-sifat semula jadi ini dapat mengukuhkan kepercayaan dan keimanan manusia kepada Allah s.w.t sekali gus memberikan pengiktirafan kepada unsur rohani yang melibatkan kepercayaan dan keimanan manusia kepada suatu pegangan yang dikenali sebagai agama. Dari sudut jasmani pula, alam diperlukan oleh manusia sebagai tempat perlindungan, sumber rezeki dan sumber kemajuan serta pembangunan. Sememangnya alam diciptakan dengan pelbagai komponen dan kelengkapan adalah sebagai tempat tinggal bagi setiap makhluk ciptaan Allah s.w.t tidak kira sama ada yang hidup mahupun yang telah mati. Sebagaimana firman al-Quran, surah Al-Mursalat (77:25-26) yang bermaksud: “Bukankah Kami telah menjadikan bumi (sebagai tempat) penampung dan penghimpun (penduduknya)? yang hidup dan mati”. Ayat tersebut jelas menggambarkan bahawa bumi ini adalah tempat untuk manusia yang bernyawa dan hidup berkumpul dan tinggal dengan baik. Manakala di bahagian perut bumi merupakan tempat untuk manusia yang telah mati. Tanah adalah komponen alam yang paling penting kerana ia bukan hanya menjadi tempat tinggal bagi hidupan bernyawa, malahan ia juga berfungsi sebagai tempat penyimpanan sisa buangan. Seterusnya udara turut berperanan membersihkan udara yang tidak menyenangkan kepada udara yang bersih dan selamat untuk dinikmati oleh hidupan, khususnya manusia (Hazura Ab Bakar & Sharifah Norhaidah Syed Idros 2007: 33; Norhibah Hasan Zawawi 1999: 14). Keistimewaan yang wujud pada komponen alam mampu memberikan keselesaan kepada setiap makhluk untuk menjalani kehidupan dengan harmoni. Tambahan lagi, kepelbagaian komponen alam seperti air, haiwan dan tumbuhan menjadi sumber rezeki kepada manusia untuk meneruskan kehidupan seharian mereka. Sumber rezeki dalam bentuk makanan dan minuman ini adalah keperluan yang paling asas bagi manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup sebagai makhluk alam. Tanpa sumber makanan dan minuman, kesemua makhluk hidup tidak dapat meneruskan kesinambungannya, sekaligus akan mendatangkan kemusnahan. Manusia bertanggungjawab membangunkan alam dengan menjaga sifat semula jadinya agar keseimbangan alam dapat dikekalkan. Sebagaimana yang pernah berlaku dalam peradaban Islam klasik, aktiviti pembangunan dijalankan dengan mengambil kira kewujudan sistem alam sekitar yang saling berhubungan, khususnya antara manusia dan alam sekitarnya (Zaini Ujang 1993: 17). Ini kerana, setiap perbuatan yang mereka lakukan terhadap alam sekitar, sentiasa dikaitkan dengan tanggungjawab (amanah) mereka kepada Pemiliknya. Namun, apabila dunia Barat berada dalam fasa kebangkitan (Renaisans), seluruh dunia terkesan dengan sistem yang diperkenalkan. Peminggiran nilai agama mula berlaku secara ketara di kalangan masyarakatnya, sekaligus membudayakan pemikiran yang sekular termasuklah dalam memandang alam dan beraktiviti ke atasnya, seolah-olah alam sekitar dimiliki secara mutlak oleh manusia, bukannya Tuhan. Daripada fahaman sekular, wujudlah pengaruh ilmu sains Barat moden dalam pemikiran manusia, yang akhirnya menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Kejahilan mengenai sifat cabaran ilmu telah mendorong manusia menjadikan ilmu sains Barat moden sebagai suatu nilai hidup yang utama dan membimbing manusia ke arah keyakinan terhadap kebenaran demi mencapai kesejahteraan. Pengaruh ilmu sains Barat moden telah memisahkan konsep atau elemen ketuhanan daripada alam sekitar yang mengelilingi mereka. Sebaliknya mereka sering menyerlahkan kebanggaan dan kemegahan pada ciptaan peralatan sains dan teknologi moden untuk diaplikasikan ke atas alam mengikut acuan masing-masing, tanpa memikirkan acuan agama yang mengkehendaki mereka agar peka dan prihatin kepada Pencipta dan Pemilik alam. Hal ini dapat dilihat berdasarkan kepada kejayaan manusia menguasai alam sekeliling, meneroka dan merubah permukaan muka bumi tanpa kawalan (Syed Muhammad Naquib al-Attas 2007: 9-11). Rentetan daripada pengaruh pemikiran dan sains sekular ini telah melahirkan manusia yang lebih mengutamakan amalan kebudayaan, saintifik dan teknologi Barat. Dalam erti kata yang lain, pengaruh sekular ini juga telah memberikan kuasa kepada manusia untuk mendominasi segala sumber yang ada dengan menggunakan teknologi moden yang boleh mengganggu keseimbangan alam. Mereka turut menjadikan alam sebagai tempat untuk mengejar kemajuan dengan pembangunan fizikal tanpa memberikan perhatian kepada pembangunan insan. Maka berlakulah eksploitasi terhadap alam dan keadaan di sekelilingnya demi keuntungan pihak-pihak tertentu. Dalam situasi ini, mereka hanya menggunakan alam untuk manfaat jasmani tanpa menghiraukan kesan sampingan kepada hidupan alam yang lain. Menurut perspektif Islam, alam sekitar merupakan anugerah kepada manusia sebagai pengiktirafan mereka sebagai makhluk sosial yang bertanggungjawab mengurus, mentadbir dan memakmurkan alam ini dengan penuh kebaikan. Anugerah kekhalifahan ini juga adalah satu penghargaan tertinggi bagi akal manusia. Keupayaan manusia memahami dan mempelajari sesuatu nama, istilah atau ilmu pengetahuan disandarkan kepada keupayaan akal manusia. Menurut Hasan Langgulung (1979: 188) ciri utama akal adalah kebolehan mengamati, memahami dan menggambarkan sebab dan akibat sesuatu. Kefahaman dan pengamatan tersebut menunjukkan bahawa fungsi akal adalah untuk berfikir. Melalui kebolehan akal itu juga, manusia dapat membuat suatu keputusan yang logik dan rasional. Keupayaan berfikir juga membolehkan manusia mereka cipta sesuatu ciptaan untuk manfaat bersama. Keistimewaan akal yang wujud pada manusia turut diakui oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas (2014: 168-169), beliau menyatakan bahawa keupayaan akal merujuk kepada dwi-sifat jasmani dan rohani yang dimiliki oleh diri seorang manusia. Tambah beliau, dalam istilah akal itu sendiri telah wujud perkataan rasional dan intelek. Ini kerana akal mampu menilik, memikir, merenung, mengatur, memberi makna, bertindak menguasai benda di alam jasmani serta mengenal hakikat yang ada pada alam rohani secara batin. Akal juga diibaratkan seperti penglihatan menerusi dua mata yang tilikannya telah diseimbangkan sehingga menjadi satu pandangan. Kesepaduan unsur rasional dan intelek pada akal manusia memberikan kesedaran kepada manusia untuk memahami tanggungjawab sebenar penciptaan mereka sebagai makhluk bumi. Penganugerahan akal kepada manusia turut dibekalkan dengan ilmu yang secukupnya. Ilmu merupakan asas penting yang menjadi kompas panduan dan tali penghubung antara manusia dengan Allah s.w.t kerana ilmu yang wujud dalam dunia ini adalah kurniaan daripada-Nya (Haron Din 1985: 22; Norhibah Hasan Zawawi 1999: 68; Rasid Muhamad 2010: 75; Siti Fatahiyah Mahamood & Mohd Nor Mamat 2010: 63). Penciptaan alam juga merupakan satu anugerah ilmu kerana di dalamnya mengandungi pelbagai hikmah dan tandatanda kebesaran Pencipta-Nya. Menurut Sayyid Qutb (2000b: 110-111), alam adalah suatu anugerah yang sangat bernilai bagi manusia kerana padanya terkandung banyak pengajaran dan pembelajaran. Sehubungan itu, akal manusia dituntut untuk berfikir secara sihat dan penuh penghayatan dalam mengambil iktibar di atas segala kejadian. Kemudian, mereka secara ketaatannya adalah dituntut untuk sentiasa peka dan prihatin ke atas alam sekitar iaitu wajib berlaku adil terhadapnya, bukan semata-mata untuk diri manusia, tetapi untuk alam sendiri, dan semestinya untuk Pencipta, juga sebagai Pemilik alam (Allah s.w.t). Kesimpulan Apa yang dapat diringkaskan, manusia memerlukan pemahaman tepat tentang konsep alam terlebih dahulu, yakni memahami alam dengan berpandukan ilmu alam yang bersumberkan ajaran agama melalui kitab sucinya. Langkah tersebut amat penting demi memastikan masa depan alam sekitar sentiasa dipelihara dan dipulihara secara menyeluruh. Panduan ilmu alam yang bersumberkan sains dan teknologi Barat moden sekular adalah tidak mampu melahirkan pandangan alam yang sejagat, sebaliknya semakin terpisah daripada nilai ketuhanan. Ini akhirnya akan menyebabkan segala usaha untuk menangani pencemaran alam sekitar sentiasa tidak berjaya sepenuhnya kerana seringkali tertakluk kepada dapatan manusia moden dan pascamoden yang masih ketara berpaksikan kepada logik akal manusia dan hawa nafsu mereka semata-mata. Dalam Islam, kitab suci al-Quran secara terang-terangan menyediakan suruhan dan saranan kepada manusia agar sentiasa berusaha menjaga alam sekitar sebagai satu amanah daripada Allah s.w.t, malah perlu dilaksanakan sebaik mungkin secara taat. Ini disebabkan tindakan mereka ke atas alam mempunyai kesannya pada kedudukan mereka di akhirat nanti. Inilah yang menyebabkan mengapa Syed Muhammad Naquib al-Attas begitu konsisten untuk menegaskan bahawa agama Islam merupakan pegangan yang merangkumi aspek rohaniah dan jasmaniah manusia dalam menjalani kehidupan seharian terutamanya ke atas alam yang mereka duduki. Bagi beliau, pegangan dan kepercayaan agama yang teguh dalam diri manusia, akan dapat melahirkan insan yang berkualiti dari sudut rohani dan jasmani. Penghayatan agama Islam sebagai al-dīn juga dapat melahirkan keyakinan iman dalam setiap amalan manusia termasuklah cara berfikir, sikap dan tingkah laku mereka terhadap alam sekitar. Ia akan mendorong manusia untuk tidak membuang sampah meratarata kerana kebersihan adalah dituntut oleh agama. Ia juga akan mendorong manusia untuk tidak meneroka hutan secara tanpa kawalan kerana sifat tamak adalah dilarang oleh agama. Begitulah keadaannya larangan agama terhadap budaya mengeksploitasi sumber alam. Semua ini menunjukkan bahawa ajaran agama sentiasa memastikan hak manusia dan alam sentiasa berada dalam seimbang dan harmoni kerana kedua-dua komponen tersebut adalah makhluk ciptaan Allah s.w.t. Sehubungan itu, dalam usaha manusia untuk menyelamatkan alam sekitar, mereka sepatutnya terlebih dahulu perlu menyelamatkan diri mereka daripada disabitkan sebagai golongan memungkiri janji kepada Allah s.w.t di atas amanah yang diberikan selama ini. Rujukan Al-Bahi, Muhammad. 1979. Islam dilitupi Awan Mendung. Terj. Yusoff Zaky Yacob. Kota Bharu: Pustaka Dian Sdn Bhd. Al-Saqa, Ahmad Hijazi.1987. Sharah al-Aqaid al-Nasafiyyah. Kaherah: Maktabah alKuliyyah al-Azhariyah. Haron Din. 1985. Manusia dan Islam. Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia. Hasan Langgulung. 1979. Pendidikan Islam: Suatu Analisa Sosio-psikologikal. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara. Hazura Ab Bakar & Sharifah Norhaidah Syed Idros. 2007. Pemeliharaan Alam Tabii Bersumberkan Pengetahuan Islam. Jurnal Diges Pendidikan, 7(1), 31–44. Mohd Zuhdi Marsuki & Amer Saifude Ghazali. 2002. Etika Alam Sekitar daripada Perspektif Islam, Timur dan Barat. Pahang: PTS Publication & Contributor. Muhammad Izzuddin Taufiq. 2006. Dalil Al-Anfus baina Al-Quran wa Al-Ilm Al-Hadis. Terj. Muhammad Arifin. Solo: Penerbit Tiga Serangkai. Norhibah Hasan Zawawi. 1999. Konsep Islam Terhadap Pemuliharaan Alam Sekitar. Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Qutb, S. 2000a. Tafsir Fi Zilalil Quran. Terj. Yusoff Zaky Haji Yacob. Jil.11. Kelantan: Pustaka Aman Press. Qutb, S. 2000b. Tafsir Fi Zilalil Quran. Terj. Yusoff Zaky Yacob. Jil.1. Kelantan: Pustaka Aman Press. Rasid Muhamad. 2010. Menjejaki Keindahan Islam. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA) Universiti Teknologi MARA. Siti Fatahiyah Mahamood & Mohd Nor Mamat. 2010. Falsafah Pengurusan Krisis Alam Sekitar Menurut Perspektif Islam. Dlm. Mohd Asri Abdullah & Mohd Nor Mamat (pnyt.). Islam & Pengurusan: Menangani Arus Globalisasi,. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA) Universiti Teknologi MARA. Syed Muhammad Naquib Al-Attas. 1977. Islam: Faham Agama dan Asas Akhlak. Muktamar Islam Antarabangsa Anjuran Majlis Islam Eropah. Syed Muhammad Naquib Al-Attas. 1988. The Oldest Known Malay Manuscript: A 16th Century Malay Translation of The Aqaid of al-Nasafi. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. Syed Muhammad Naquib Al-Attas. 1989. Islam And The Philosophy Of Science. Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC). Syed Muhammad Naquib Al-Attas. 2002. Ma’na Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam. Terj. Muhammad Zainiy Uthman. Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC). Syed Muhammad Naquib Al-Attas. 2007. Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia. Syed Muhammad Naquib Al-Attas. 2014. Risalah untuk Kaum Muslimin. Kuala Lumpur: IBFIM. Zaini Ujang. 1993. Islam dan Alam Sekitar. Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar.

Judul: Kepentingan Memahami Ilmu Alam Sekitar Bersumberkan Agama Menurut Smn Al-attas

Oleh: Siti Aminah

Ikuti kami